Berani Hadapi Lelaki Ego

Oleh : Dr Juanda Jaya 

Pernahkah anda mengenali seorang lelaki yang terlebih ’confident’, bergaya dan handsome dalam hidup anda? Entah kekasih atau sudah pun menjadi suami dalam hidup anda. Pada pandangan teman-teman, anda telah mendapat suatu keberuntungan, bagai bulan jatuh ke riba. Lelaki pujaan ramai itu memiliki ’pakej lengkap lelaki macho’, akhirnya menjadi milik peribadi anda. Tapi sayang cinta yang berkobar-kobar di hati harus mendapat ujian yang dahsyat daripada si dia.

Mula-mula hidup anda terasa begitu indah kerana berada di sampingnya. Setelah beberapa bulan berlalu, barulah anda tahu kalau si dia tidak sensitif langsung terhadap perasaan anda. Seringkali hati anda disakiti kerana keegoannya. Nak pilih baju mesti ikut suka dia, beli kereta, rumah hingga perabut pun dia yang pilih. Siapa teman-teman dan di mana kerja anda, dia juga yang tentukan. Rasa rimas dan terpenjara hidup anda bersamanya. Kalau anda buat sesuatu, dia mesti komplen, jauh sekali untuk memuji. Anda merajuk, dia tak sudi memujuk, anda marah dia lagi kuat marah, anda pergi dia selamba saja macam tak perlukan anda di sisinya. Sakit hati! Tapi terlanjur mencinta, benci tapi rindu, geram tapi sayang. Bagaimanakah cara yang berani bagi menghadapi spesis lelaki ego sebegini?

1. Pelajari sifatnya
Dia tidak akan mahu mengalah, walaupun sudah terang dia yang salah. Ada saja helah nak kenakan anda. Kadang-kadang anda bertanya dalam diri, adakah lelaki ini mencintai anda sebenar-benarnya? Kenapa harus anda saja yang mengalah, sabar dan reda dengan perlakuannya itu?

Sifat ego yang terbentuk dalam diri seseorang wujud setelah dia melalui suatu proses yang panjang dalam hidupnya. Faktor latarbelakang keluarga yang memanjakan, penampilan zahir yang serba sempurna, kerjaya yang hebat, pendidikan yang tinggi dan kekayaan adalah antara perkara yang diyakini boleh mempengaruhi pandangan dan pemikiran seseorang.

Biasanya hampir semua lelaki tidak suka memikirkan hal yang remeh-temeh, yang halus-halus dan melibatkan perasaan. Anda perlu mengajari tentang sensitiviti dalam perhubungan. Jika anda rasa tak selesa, baik berterus-terang dan beri cadangan supaya dia faham apa yang anda mahu. Dalam setiap keputusan anda harus memegang prinsip ’cinta harus dikongsi, tapi jangan ada yang memanipulasi’. Untuk apa bercinta kalau tidak gembira?

2. Beri peluang.

Pada hakikatnya, lelaki ini masih belajar mencintai anda. Berlainan dengan anda yang sememangnya telah ’cinta setengah mati’ kepadanya. Jadi, anda perlu menjadi seseorang yang diidamkannya, supaya dia menemukan dalam diri anda ’sesuatu yang selama ini dicari’ dalam hidupnya. Setiap hari yang anda lalui bersamanya tidaklah semuanya pahit. Cuba ingatkan diri anda dengan sifat-sifatnya yang manis dan cool. Takkan tiada satu kebaikan pun dalam dirinya. Cubalah bersyukur dan reda. Mungkin orang lain lagi teruk menghadapi pasangannya. Ada yang kena terajang, ditipu dan dicurangi bahkan kena rompak semua hartanya oleh lelaki kejam yang dicintai bernama suami. Jadi, tak rugilah anda beri peluang untuk kekasih anda berubah. Kerana dia tidaklah seteruk yang anda sangkakan.

3. Tolong dia dengan sabar.

Seseorang tidak akan dapat berubah dalam masa yang singkat. Kalau nak sampai di puncak, anda perlu mendaki anak-anak tangga yang banyak. Tak mungkin anda boleh sampai di atas dengan cara sekali lompatan. Jadi berilah peluang pasangan anda untuk memperbaiki dirinya. Di samping itu kesabaran harus digandakan pada diri anda sendiri. Jika betul cinta anda sejati, anda mesti memiliki kemaafan yang tulus untuk memudahkan pendakian seterusnya.

4. Limit masa untuk perubahan.

Ramai pasangan yang mencapai kematangan dalam percintaan setelah mengharungi jangka masa yang panjang. Sebenarnya seseorang mengalami beberapa fasa dalam percintaannya. Fasa perkenalan, kemudian fasa penyatuan persepsi, fasa toleransi, fasa ujian kesetiaan dan akhirnya fasa keintiman. Setiap pasangan yang secocok dan serasi, intim dan matang memiliki sifat-sifat yang saling lengkap melengkapi pasangannya. Semua itu memerlukan pengorbanan dari segi masa, wang ringgit, hati dan perasaan.

Kadang-kadang hati anda boleh jadi dah kebal diserang oleh keegoan suami anda. Lama-kelamaan anda enjoy juga melayan kerenahnya kerana anda sudah terbiasa. Ego suami jadi perasa yang menyedapkan cinta. Sebenarnya semakin banyak ujian melanda maka semakin matang cinta anda berdua. Ada kalanya suami boleh berubah setelah beberapa orang anak lahir atau setelah kemapanan ekonomi dikecapi atau setelah prestasi anda bertambah hebat melayaninya. Anda mesti yakin dan percaya setiap manusia boleh berubah.

Kalau lelaki itu belum menjadi suami anda, sedangkan perangainya tidak juga berubah setelah menunggu sekian lama, eloklah anda mencari alternatif lain. Kasihanilah diri anda dan tak salah anda mengambil keputusan berani untuk meninggalkannya.

5. Nikmati hidup anda dengan optimis.

Kalau bukan jodoh, apa-apa usaha takkan menjadi juga. Anda perlu memikirkan diri anda sendiri dan berhenti bermimpi untuk bahagia di samping keegoannya. Sebelum anda mengambil keputusan untuk berkahwin, baik fikirkan masak-masak. Jika bercinta dengan dia, anda akan terpaksa tunduk kepadanya seratus peratus tanpa kompromi, apakah keputusan anda itu bersifat rasional atau emosional? Tak salah jika anda mencuba asalkan anda bahagia. Anda harus berani mengambil sebarang risiko. Lumrah orang bercinta mengalami patah hati, benci dan dendam yang pasti boleh dipulihkan seiring berjalannya waktu. Isi hari-hari anda dengan perkara yang berfaedah, sayangilah diri dan anda pasti mampu membahagiakan diri anda sendiri tanpa si ego di sisi.

Sumber :- DrJuanda.com

8 COMMENTS

  1. terima pasangan seadanya atas apa juga kelebihan dan kekurangannya adalah antara kunci kebahagiaan.

    sebab semua pasangan ingin kekal bahagia hingga akhir hayat. tapi mestilah ada juga kerjasama serta komunikasi utk menjayakannya
    Ladfe Amir recently posted..Sambal Tumis Ikan BilisMy Profile

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge